Nombor Giliran

Sunday 13 May 2012

Lelaki Itu

Siapakah lelaki itu?
Yang hadir dalam mimpiku semalam,
Sewaktu aku duduk sendirian,
Hanya bertemankan harapan,
Dan dia hadir,
Memimpin erat tanganku,
Tatkala aku dipinggirkan..

Friday 11 May 2012

Sepucuk Doa Buat Sahabat

Sesak jiwa ini berjauhan denganmu,
Fikiranku kabur dikabusi bayang wajahmu,
Apakah esok masih ada lagi detik,
Peluang mengukir senyum bersama ?
Mengadu kasih seorang teman sejiwa ?

Detik cemas itu telah bermula,
Kugugurkan air mata menuding salah diriku,
Aku tidak mampu menjadi bahumu buat kali kedua,
Inilah sepucuk doa buatmu sahabat,
Aku yang jauh hanya mampu memejam hati,
Agar detik itu berlalu pergi,
Sebuah hasrat hati yang kecil,

Alhamdulillah,
Kau mampu memadam detik itu,
Melakarkan senyum terima kasih untukku,
Sekali lagi ku suratkan terima kasih,
Kerana aku masih berada di ruang hatimu..

Wednesday 9 May 2012

Harapan Bermakna

Kawanan unggas menyanyi riang,
Terbang burung pulang ke teduh,
Hijau rumput gah melitupi bumi,
Menamatkan senja tatapanku,
Sejenak melakarkan hari kosong,
Menutup sejuta rangkai persoalan,

Hari esok,
Nadiku lelah berbicara,
Menanti tamatnya sebuah sandiwara,
Menunggu bingkisan bermakna,
Seakan sia-sia,

Di ruang rinduku ini,
Ku titiskan selaut harapan,
Melimpah ke adunan jiwa,
Agar hari mendatang,
Disulami kilauan keikhlasan,
Mewarnakan indah saujana,
Harapan yang sungguh bermakna,

Aduhai penyembuh rindu,
Huraikanlah rantai persoalan,
Dengan tulus jawapanmu,
Agar hariku kelak,
Tidak sehambar hari ini..

Friday 27 April 2012

Pudar Hati

Lukisan hati ini semakin pudar,
Mungkin aku perlu warnakannya dengan yang baru,
Atau aku cari yang lain,
Warna didunia ini sudah tidak cukup untuk mencorakkannya seindah warna pelangi,
Aku mengaku salah aku,
Membiarkannya lusuh dan hambar tanpa setitis tinta,
Pilu yang amat memeritkan rasa.

Wednesday 18 April 2012

Senyum Terluka

masih mahu senyum,
walau atma dilanda gelora,
gurindam jiwa yang menjerit pergi,
melukis secebis harapan yang tak pasti,
kala bahu yang berlalu pergi,
beban yang acapkali diheret,
punah jua akhirnya,

benarkah senyumku ini terluka?
terluka kerana dirimu?

sunyiku ini berirama sepi,
walau mentari itu masih mahu menyinar,
tegar ingin memadam cerita lalu,
sakit yang teramat pedih,
tiada guna cerita dengan air mata,
murah semata-mata.